Friday, March 13, 2009

ANDRAGOGI

Salah satu aspek penting dalam pendidikan pada masa ini ialah konsep pendidikan untuk orang dewasa. Jika sebelum ini kita sering membincangkan akan kepentingan pendidikan untuk kanak-kanak pendidikan untuk orang dewasa juga tidak kurang pentingnya memandangkan pendidikan adalah untuk semua. Maka adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan orang dewasa juga memperolehi pendidikan yang sewajarnya untuk pembangunan diri mereka..

Pembelajaran dewasa atau lebih dikenali sebagai andragogi agak sukar didefinisikan kerana maksudnya yang agak luas dan ramai tokoh yang memberikan pandangan yang berbeza-beza. Antara tokoh terkenal di dalam pendidikan andragogi adalah Malcolm Knowles, Edward Lindeman, Tough dan sebagainya. Menurut Knowles, sebelum wujudnya andragogi, pedagogi sudah muncul. Pedagogi adalah seni dan kebudayaan bagi pembelajaran kanak-kanak. Manakala kata lawannya pula muncul sebagai andragogi iaitu pembelajaran bagi orang dewasa.
PENGERTIAN ANDRAGOGI

Andragogi merupakan konsep yang dipopularkan oleh Malcolm Knowels yang telah menulis buku mengenai andragogi pada tahun 1970. Bukunya bertajuk The Modern Practise of Adult Education. Menurutnya andragogi merupakan seni dan sains untuk membantu orang dewasa belajar. Perkataan andragogi berasal dari bahasa Yunani ‘aner’ ertinya orang dewasa atau adult, dan ‘agogos’ ertinya memimpin atau leader. Secara lebih tepat lagi andragogi boleh dinyatakan sebagai seni dan sains untuk pembelajaran bagi orang dewasa.

TEORI ANDRAGOGI

Teori andragogi oleh Kowles adalah suatu percubaan untuk mengembangkan satu teori yang khas tentang pembelajaran orang dewasa. Knowles menegaskan orang dewasa adalah terarah diri dan dijangka bertanggungjawab atas keputusannya. Program pembelajaran orang dewasa seharusnya menampung aspek asas ini.

Andragogi membuat andaian-andaian berikut tentang rekabentuk pembelajaran:
1) Orang dewasa perlu mengetahui sebab ia dikehendaki mempelajari sesuatu
2) Orang dewasa perlu belajar secara eksperimen
3) Orang dewasa menganggap pembelajaran sebagai penyelesaian masalah, dan
4) Pembelajaran orang dewasa paling berkesan jika topik pelajarannya mempunyai nilai segera.

Secara praktiknya, andragogi bermakna instruksi untuk orang dewasa perlu berfokuskan lebih kepada proses daripada isi kandungan yang diajar. Strategi-strategi seperti kajian kes, main peranan, simulasi, dan penilaian kendiri adalah paling berguna. Pengajar memainkan peranan sebagai fasilitator atau kakitangan sumber dan kurang sebagai pensyarah atau penilai.

1. Skop/Aplikasi:

Andragogi diaplikasikan kepada sebarang bentuk pembelajaran orang dewasa dan telah digunakan dengan meluasnya dalam rekabentuk program latihan organisasi (pembangunan pengurusan).
Contoh:
Knowles memberi satu contoh aplikasi prinsip-prinsip andragogi dalam rekabentuk latihan komputer peribadi:
Perlunya menjelaskan sebab sesuatu diajar (misalannya, arahan tertentu, fungsi, operasi dll)
Instruksi perlu berorientasikan tugasan dan bukan hafalan - aktiviti pembelajaran harus dalam konteks di mana tugas-tugas dilakukan.
Instruksi perlu mengambil kira pelbagai latar belakang pelajar; bahan dan aktiviti pembelajaran hendaklah disesuaikan dengan jenis/tahap pengalaman penggunaan komputer yang berbeza.

Oleh kerana orang dewasa adalah terarah diri, instruksi haruslah membenarkan pelajar dewasa melakukan penemuan sendiri, dan memberi bimbingan dan bantuan jika kesilapan berlaku. Marzano dan Arredondo mengutarakan teknik pemprosesan mendalam Deep Processing yang menegaskan komponen-komponen pemikiran iaitu imej, sensasi, emosi dan linguistik. Untuk mengingati sesuatu perkara dengan baik, keempat-empat komponen dibangkitkan.

Prinsip-prinsip:
I. Orang dewasa perlu dilibatkan dalam perancangan dan penilaian instruksinya.
II. Pengalaman (termasuk kesilapan) menjadi asas untuk aktiviti pembelajaran.
III. Orang dewasa paling berminat mempelajari subjek yang mempunyai hubungan yang segera dengan pekerjaan atau kehidupan peribadinya.
IV. Pembelajaran orang dewasa adalah berpusatkan masalah dan bukan berorientasi isi kandungan.

2. Andaian Andragogi
Knowles menganggap orang dewasa berupaya bertindak ke arah kendiri atau self-directedness dan orang dewasa akan bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil. Program pembelajaran dewasa perlu bersesuaian dengan aspek-aspek asas ini. Oleh itu, terdapat beberapa andaian andragogi yang diberikan oleh Knowles (1980) iaitu:

Orang dewasa perlu tahu mengapa mereka perlu belajar.Orang dewasa ingin dan berkecenderungan bertindak ke arah kendiri apabila mereka semakin matang walaupun ada masanya mereka bergantung pada orang lain.
Orang dewasa perlu belajar melalui pengalaman di mana pengalaman bagi orang dewasa adalah satu sumber pembelajaran yang penting. Pembelajaran mereka lebih berkesan melalui teknik-teknik yang dilakukan berasaskan pengalaman yang pernah dilalui mereka seperti perbincangan dan penyelesaian masalah.
Orang dewasa belajar berdasarkan pemusatan masalah. Ini kerana mereka sedar akan keperluan pembelajaran secara khusus melalui masalah-masalah kehidupan sebenar. Oleh itu, program-program pendidikan dewasa sepatutnya dirancang mengikut keperluan hidup dan disusun mengikut kesediaan dan keupayaan untuk belajar.
Orang dewasa belajar dengan lebih berkesan apabila topik itu bernilai.Orang dewasa belajar bersungguh-sungguh bagi menguasai suatu pengetahuan ataupun kemahiran bagi keperluan hidup. Oleh itu, pembelajaran orang dewasa adalah berpusatkan pencapaian. Kesungguhan orang dewasa menguasai suatu kemahiran ataupun pengetahuan adalah untuk keperluan hidup ataupun semasa.

3. Model Andragogi

Model andragogi telah dibentuk berdasarkan andaian-andaian di atas:

a. Keperluan bagi memenuhi rasa ingin tahu/ke arah kendiri

Orang dewasa perlu tahu mengapa mereka perlu belajar, Tough (1979) mendapati apabila orang dewasa berkemampuan untuk belajar dan memperoleh faedah daripada pembelajarannya dan juga mengambil kira keburukan apabila tidak mempelajarinya. Peranan fasilitator di sini adalah untuk menyedarkan pelajar tentang keperluan untuk memenuhi rasa ingin tahu, ‘need to know’.

b. Keperluan menyempurnakan kendiri
Orang dewasa mempunyai kesempurnaan kendiri dan mampu menilai sendiri keputusan dan menentukan hidup mereka sendiri, orang dewasa membangunkan keperluan psikologi mereka bagi mendapatkan perhatian dan penghargaan daripada orang lain.

c. Peranan pengalaman
Orang dewasa memiliki pelbagai pengalaman yang diperoleh dari zaman remaja. Pengalaman yang dimiliki ini berbeza-beza mengikut latar belakang, cara pembelajaran, keperluan, pencapaian dan minat. Kaedah pembelajaran yang sering digunakan adalah perbincangan kumpulan, penyelesaian masalah dan bertukar-tukar pengalaman.

d. Kesediaan belajar
Orang dewasa bersedia untuk belajar perkara yang perlu diketahui dan dipelajari oleh mereka dan mengaitkan apa yang dipelajari dengan realiti kehidupan. Kesediaan belajar ini penting bagi membangunkan kendiri.

e. Orientasi pembelajaran
Orang dewasa belajar berdasarkan berpusatkan kehidupan dan ia begitu berbeza dengan kanak-kanak yang tertumpu pada pelajaran atau berpusatkan subjek. Setiap perkara yang dipelajari adalah berkaitan dengan hidup mereka.

f. Peranan motivasi
Orang dewasa mendapat motivasi daripada pendorong luaran (seperti kenaikan pangkat, gaji tinggi) tetapi pendorong dalaman adalah lebih berpengaruh (seperti kualiti kehidupan, penghargaan). Tough (1979) mendapati orang dewasa sentiasa mendapat motivasi untuk pertumbuhan dan pembangunan diri tetapi motivasi ini sering kali gagal kerana wujudnya konsep negatif pada diri pelajar, masa terhad dan program yang disertai tidak menepati prinsip-prinsip pembelajaran dewasa.


PRINSIP-PRINSIP ANDRAGOGI

A. Malcolm Knowles (1980) telah menyatakan beberapa prinsip andragogi iaitu:
Orang dewasa perlu terlibat dalam merancang dan membuat taksiran semua kerja mereka. Pelajar mesti diberikan matlamat sejauh mana pencapaian matlamatnya.
Pengalaman adalah asas aktiviti pembelajaran. Menjadi tanggungjawab pelajar menerima pengalaman sebagai suatu yang bermakna.
Pelajar lebih berminat mempelajari perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan kerja dan kehidupan mereka.
Pembelajaran adalah tertumpu pada masalah (problem-centered). Masalah memberi tenaga, arah dan menggalakkan daya belajar dan ia perlu dimotivasikan.

B. Gibb (1960) telah menyatakan beberapa prinsip andragogi iaitu:
Pembelajaran adalah berdasarkan problem-centered.
Pemusatan pengalaman menjadi asas pembelajaran. Pengalaman yang dimiliki mesti bermakna kepada pelajar.
Matlamat ditentukan oleh pelajar itu sendiri.

C. Miller (1904) telah menyatakan beberapa prinsip andragogi iaitu:
Pelajar perlu diberikan motivasi bagi mengubah tingkah laku. Pelajar perlu sedar tingkah laku yang tidak diingini dan mempunyai gambaran jelas berkenaan dengan tingkah laku yang diingini.
Pelajar mempunyai peluang mencuba tingkah laku yang baru.
Pelajar memperoleh bahan-bahan pembelajaran yang bersesuaian yang dapat membantunya.

Berdasarkan ringkasan prinsip-prinsip yang diberikan oleh beberapa tokoh di atas, dapat disimpulkan bahawa prinsip andragogi adalah:

Pembelajaran merupakan satu proses yang berterusan. Orang dewasa merasakan keperluan dalam pelbagai bidang kemahiran dan pengalaman yang dimiliki adalah penting bagi masa depan mereka.
Orang dewasa belajar dengan lebih baik apabila secara personelnya mereka terlibat dalam proses merancang, menilai dan melaksanakan persekitaran mereka tanpa mengganggu tahap keselamatan dalam diri mereka sendiri.
Orang dewasa memilih dan suka belajar bagi memudahkan mereka mengetahui tahap kebolehan dan kemahiran yang dimiliki dalam semua situasi pembelajaran.
Orang dewasa belajar dengan baik apabila mereka mempunyai motivasi untuk berubah, self-discovered atau mempunyai kemahiran dan strategi spesifik.
Menurut Knowles terdapat empat definisi dewasa iaitu:
Daripada aspek biologi: Individu itu mencapai tahap dewasa apabila mencapai peringkat umur tertentu dan mampu melahirkan anak.
Daripada aspek undang-undang: Individu itu dianggap dewasa apabila mencapai syarat yang tertakluk dalam undang-undang dan membolehkan dia terlibat dalam mengundi, memiliki lesen memandu dan berkahwin.
Daripada aspek sosial: Individu itu dianggap dewasa apabila dia dapat memainkan peranan sebagai orang dewasa, bekerja sepenuh masa dan berumah tangga.
Daripada aspek psikologi: Individu itu dianggap dewasa apabila dia mencapai tahap kesempurnaan kendiri di mana dia mampu menguruskan hidupnya sendiri.

Maka, individu itu dikatakan dewasa apabila dia sudah melalui zaman kanak-kanak dan remaja serta dipengaruhi oleh aktiviti sosial yang disertai semasa berada dalam alam persekolahan. Self-concept dan self-directedness hanya diperoleh apabila individu itu menamatkan zaman persekolahannya, mempunyai kerja sepenuh masa dan berkeluarga. Berbanding dengan kanak-kanak dan remaja, orang dewasa mempunyai tujuan sebagai seorang pelajar. Pembelajaran dewasa adalah bidang baru dan Knowles mempelopori bidang ini dan menyenaraikan beberapa kriteria tentang pelajar dewasa iaitu:
Kriteria pelajar dewasa

Orang dewasa adalah bebas dan bertindak ke arah kendiri.

Orang dewasa perlu bebas untuk bertindak. Fasilitator perlu melibatkan pelajar dalam proses pembelajaran dan bertindak sebagai fasilitator semasa sesi pengajaran. Contohnya, fasilitator perlu mendapatkan pandangan dan idea pelajar berkenaan dengan topik yang diajar. Sebagai pemudah cara, fasilitator membimbing pelajar berdasarkan pengetahuan yang dimiliki oleh pelajar itu sendiri.

Orang dewasa mempunyai pengalaman
Orang dewasa berpengalaman dan berpengetahuan dalam hal-hal yang merangkumi aktiviti kerja, tanggungjawab dalam keluarga dan pendidikan masa lampau. Orang dewasa mengaitkan pembelajaran mereka dengan pengalaman yang dimiliki.

Orang dewasa mempunyai matlamat.
Sebelum menyertai kursus, orang dewasa tahu matlamat yang perlu dicapai. Fasilitator membantu pelajar mencapai matlamat mereka. Matlamat dan objektif kursus dibuat pada permulaan kursus.

Orang dewasa adalah berpusatkan objektif
Orang dewasa tahu tujuan mereka belajar. Pembelajaran itu diaplikasikan dalam kerja dan memberi nilai kepada mereka. Oleh itu, penting bagi fasilitator mengenal pasti objektif pelajar sebelum kursus itu bermula.


Orang dewasa adalah praktikal
Orang dewasa berminat dengan pengetahuan dan kemahiran yang memberi kebaikan pada dirinya. Oleh itu, fasilitator perlu menyatakan dengan jelas bagaimana pembelajaran itu berguna dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

Orang dewasa perlu dihormati
Fasilitator perlu menghargai pengalaman yang dimiliki oleh pelajar. Pelajar perlu diberi peluang sama rata untuk menyalurkan pendapat berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki.

KAEDAH PENGAJARAN ANDRAGOGI

Dalam konteks pendidikan andragogi, peranan guru, pengajar atau pembimbing yang juga kadangkala dikenali sebagai dengan fasilitator adalah pemotivasi bagi mereka untuk mendorong dan melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran, yang kemudiannya dikembangkan melalui penglibatan para pelajar dalam proses pembelajaran yang melibatkan elemen-elemen seperti :
ü Keadaan iklim dan suasana kondusif .
ü Mewujudkan mekanisme dan kaedah yang sesuai untuk penglibatan bersama
ü Diagnosis keinginan atau keperluan pelajar.
ü Membuat rumusan bagi sesuatu pengajaran yang diajar.
ü Merekodkan pola pengalaman pelajar.
ü Melakukan dan menggunakan pengalaman belajar ini dengan cara dan teknik yang memadai.
ü Membuat refleksi dengan apa yang telah dipelajari dan membuat kesimpulan daripada pembelajaran.

Oleh yang demikian pengajaran bagi orang dewasa dalam memproses interaksi belajar bukanlah asasnya memindahkan pengetahuan dan ketrampilan kepada pelajar. Peranan dan fungsi pengajar adalah mendorong dan melibatkan pelajar dalam proses interaksi belajar kendiri, iaitu proses belajar untuk memahami permasalahan nyata yang dihadapinya, memahami keperluan diri sendiri, dapat merumuskan tujuan belajar, dan merefleksi kembali apa yang telah dipelajari. Selain itu pengajar juga boleh menggunapakai beberapa proses yang bersesuaian dengan suasana pembelajaran para pelajar di dalam kelas. Proses yang ketara dalam pengajaran andragogi termasuklah :

a. sikap tidak preskriftif (nonprescriptive attitude)
b. isu-pemusatan (issue-centered curricula)
c. mengemukakan permasalahan (problem posing )
d. rundingan berterusan (continuous negotiation)
f. berkongsi tanggungjawab dalam belajar (shared responsibility for learning)
g. menilai proses pembelajaran (valuing process)
h. berdialog (dialogue)
i. persamaan (equality)
j. bersikap terbuka (openness)
k. saling menghormati (mutual respect)
l. menjana idea dalam pembelajaran (integrated thinking and learning)

Manakala teknik pengajaran andragogi yang boleh digunakan oleh pengajar adalah seperti :
Kajian kes (case studies )
‘role playing ‘
Kaedah (simulations )
‘self-evaluation’
Dalam mempraktikan pengajaran andragogi, pelajar dewasa ini perlu lebih memberi tumpuan atau fokus kepada proses dan mengurangkan kandungan apa yang dipelajari agar lebih mudah memahami bukan menghafal atau menerima sahaja pengajaran pengajar.

KESIMPULAN
Andragogi atau pembelajaran dewasa adalah proses pembelajaran berterusan dalam jangka masa panjang di mana melibatkan orang dewasa yang sudah matang daripada segi pemikiran. Walaupun pelbagai definisi dilontarkan oleh pelopor-pelopor pembelajaran dewasa, namun ia memberikan kesimpulan yang sama. Andragogi diaplikasikan dalam semua bentuk pembelajaran orang dewasa dengan meluaskan skop-skop latihan, pembangunan, pendidikan dan sebagainya.

Fungsi yang nyata dalam konsep andragogi adalah bertentangan dengan prinsip pedagogi. Ia berbeza kerana pedagogi meluaskan pengaruhnya dalam pendidikan formal yang merangkumi pendidikan sekolah rendah, menengah dan institusi-institusi pendidikan tinggi. Orang dewasa tidak lagi bergantung harap dengan orang lain kerana mereka bertindak ke arah kendiri. Ia dianggap bersepadan dengan pemikiran dan pengalaman yang dimiliki oleh orang dewasa. Pengalaman yang dimiliki oleh orang dewasa dianggap sebagai sumber pembelajaran yang penting dalam meningkatkan keupayaan orang dewasa dalam meneruskan proses pembelajaran.


2 comments:

  1. Saya berminat ingin mempelajari mengenai Andragogy

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum.boleh terangkan tak maksud seni & sains dalam pembelajaran dewasa?

    ReplyDelete