Wednesday, March 11, 2009

KOLEJ RISDA

KOLEJ RISDA Penggerak Usahawan Muda Luar Bandar

Saban tahun perancangan strategik sentiasa digariskan bagi memastikan peningkatan taraf hidup masyarakat setempat khususnya komuniti luar bandar berada pada garis pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan. RISDA telah mengariskan beberapa pendekatan sebagai jaminan untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta taraf hidup masyarakat pekebun kecil di luar bandar. Perkembangan pembangunan pekebun kecil akan lebih terjamin dalam jangka masa panjang sekiranya anggota keluarga diberi pendidikan dalam pelbagai bidang kemahiran yang mempunyai nilai di pasaran pekerjaan. Melaksanakan pembangunan insan melalui pendidikan yang berterusan adalah bertujuan melahirkan manusia berinisiatif, bertakwa, bersyukur serta memiliki nilai murni dan beretika dalam menjalani kehidupan bekerja. Maka, destinasi utama bagi mencapai matlamat ini ialah melalui Kolej RISDA.

Kolej RISDA adalah IPT yang menjadi pemangkin kepada anak-anak pekebun kecil ataupun komuniti luar bandar untuk menyambung pengajian mereka. Selaras dengan aktiviti-aktiviti ataupun projek sama ada berskala besar mahupun sederhana yang digalakkan oleh RISDA seperti ternakan dan tanaman yang mana projek ini akan sekaligus meningkatkan pendapatan bulanan mereka. Ilmu usahawan dapat ditimba melalui Kolej RISDA yang secara tidak langsung menjadi ikon kepada IPT yang membawa imej pembangunan pendidikan luar bandar.


Peranan Kolej RISDA dalam merealisasikan pembangunan ini adalah melalui matapelajaran yang diterapkan dalam pendidikan para pelajarnya iaitu Keusahawanan. Ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) yang menekankan aspek keusahawanan. Pendekatan kepada program Keusahawanan di kolej ini sememangnya tepat kepada para pelajar yang mana outputnya nanti bakal melahirkan usahawan yang dapat mengurangkan kadar penggangguran lepasan graduan malah turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk luar bandar.

Atas kepentingan semangat keusahawanan dan usaha untuk menjadikan komuniti luar bandar bertahap minda usahawan, pembelajaran sepanjang hayat juga adalah dilihat sebagai satu keperluan untuk melestarikan pembangunan dan peningkatan sosio-ekonomi mereka. Para pekebun mahupun sesiapa yang berminat seharusnya menjadikan Kolej RISDA sebagai wadah untuk mereka menjana ilmu yang berterusan.’Knowledge – Community’ perlulah juga turut dipupuk dalam komuniti ini bagi memastikan kesinambungan pembelajaran tanpa batasan.

Bersesuaian dengan misi dan visi Kolej RISDA yang mahu melahirkan modal insan yang kompeten di kalangan kakitangan dan masyarakat pekebun kecil melalui peluang latihan dan program latihan, kemahiran serta akademik yang berkualiti dan berdaya saing. Aspek yang perlu diambil kira dalam membangunkan pelajar termasuklah memahami isu dan masalah yang dihadapi oleh individu di keseluruhan kehidupannya. Disamping membantu dalam menentukan apakah kesesuaian projek keusahawanan bagi pelajar untuk pencapaian yang lebih berkesan.

Pengajar juga digalakkan memastikan karekter ataupun identiti pelajar menjurus ke arah menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Tujuh perkara perlu diambil kira yang mana ianya menyumbang kepada pembentukan identiti seseorang iaitu pembentukan kompetensi, mengurus emosi, bergerak melalui autonomi ke arah kebebasan, pembentukan kematangan hubungan, membina identiti, membina tujuan dan seterusnya membina integriti dan jati diri. Nilai-nilai inilah yang menjadi nadi kepada penghasilan usahawan yang berkualiti yang bakal diterap kepada graduan kolej RISDA khususnya menjadi bakal usahawan yang progresif dan proaktif.

Graduan usahawan dari Kolej RISDA bakal merealisasikan kelahiran generasi kedua yang menjadi pemangkin penjana sosio-ekonomi penduduk luar bandar seterusnya menjadi ikon masyarakat melalui usaha gigih penduduk luar bandar yang bakal setanding kehidupan mereka dengan masyarakat bandar.

1 comment:

  1. Pembelajaran orang dewasa itu memang penting pada masyarakat. Tapi pengalaman sebagai PPR ... memang susah dengan orang dewasa ni. Faktor kebiasaan yang di lalui olih mereka.

    salam dari http://kliks.my/temanrisda

    ReplyDelete